Saturday 8 December 2012

KUASA SEMANGAT PEMUDA AL-FATEH

Kata Pujangga Arab, " Tidak layak digelar pemuda, orang yang asyik berbangga dengan sejarah ayahnya. Namun pemuda itu sebenarnya  adalah yang berkata: Ini Adalah Aku"
Kuasa Semangat Pemuda ini merujuk kepada betapa signifikan nya darah jiwa muda Sultan Muhammad Al-Fateh untuk menakluk Konstatinopel pada usia yang sangat muda iaitu 21 tahun.

Hanya orang muda yang berani mengubah sejarah. Setiap hari, setiap dekad dan setiap kurun, rakyat menunggu apakah yang akan dilakukan anak muda. Terpulang kepada anak-anak muda. Dalam hidup ada dua pilihan. Hidup sekadar bernafas ataupun hidup bagi mengukir sejarah. Hishamudin Rais dalam "Mahasiswa Dulu dan Sekarang".

1.0 Gambar menunjukkan Al-Fateh (sedutan dari filem Turki Fetih1453) sedang mengkaji peta dunia bagi penaklukan Konstatinopel dan menggunakan imaginasi bagi menyelesaikan masalah kegagalan menjatuhkan kota itu.


Lipatan sejarah Islam membuktikan peranan pemuda dan belia dalam melakar sejarah kegemilangan Agama Allah. Nabi Muhammad menyebut perjuangan dakwah nabi dibantu ramai anak-anak muda. Mereka yang menentang dakwah baginda adalah orang-orang yang berusia daripada kafir Quraisy.

Surah al-Anbiyak, ayat 14 menyatakan, " Ketika Musa sampai ke peringkat dewasa dan sempurna akalnya, kami berikannya kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan.Kami membalas orang yang berusaha memperbaiki amalanya.

KUASA BERIMAGINASI PEMUDA

Kuasa Semangat Pemuda ini diserlakan Al-Fateh melalui sifat dalam Islam di mana ada kemampuan untuk berimaginasi tinggi dan semangat keazaman yang menggunung. Ini seperti pepatah Arab," Semangat Pemuda menggoncangkan gunung."

Apabila membincangkan kemampuan untuk berimaginasi tinggi Albert Eistein sendiri berkata:


"Imaginasi lebih berkuasa daripada pengetahuan."



PERANAN IBU DAN BAPA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK MUDA

Pada usia kanak-kanak,  Sultan Murad iaitu ayahanda Muhammad seringkali memanggil baginda dengan gelaran Al-Fateh. Ini jelas menunjukkan pendidikan si ayah supaya anaknya mencapai cita-cita pada masa hadapan.

Tidak ramai yang sedar kuasa perkataan yang disebut ayah mahupun ibu kepada anak masing-masing. Ini yang menyebabkan robohnya institusi kekeluargaan. Anak-anak zaman sekarang ini tidak melihat rumah mereka sebagai tempat yang tenang, bahkan lagi menambah tekanan. Mereka lebih suka melepak dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan di luar rumah mahupun sesudah habis waktu sekolah.

(Jelas di sini saya pun lebih suka jauh dari keluarga dan rumah saya kerana sangat tidak tenang apabila duduk di rumah kerana selalu menambah tekanan dari segi mental dan emosi, SubhanaAllah semoga diberi kekuatan dan pedoman untuk lebih gemar berada di rumah dengan cuba mengubah situasi dan "mood" rumah mama dan bapak ku)



Bagi sesetengah ibu bapa, ada yang tidak memandang berat perkataan-perkataan negatif, leteran dan cemuhan yang mereka lontarkan kepada anak-anak mereka. Sama ada ia positif ataupun negatif, ia menyebabkan naik atau pun  jatuh semangat dan motivasi anak-anak muda.

Sebagai contoh: Anak-anak muda akan lebih rasa tertekan dan rasa rendah diri dan terhina apabila ayah mereka sendiri panggil "bodoh, tohlol, tidak boleh harap" apabila melakukan sesuatu kesalahan kecil sedangkan anak-anak muda hanya terlalai. Berbeza dengan kata-kata nasihat seperti  'Lain kali jangan buat lagi',' ini kelakuan yang tidak elok' atau apa apa sahaja yang boleh membina peribadi yang baik kepada anak-anak muda. Walaubagaimanapun ada juga kes anak-anak muda yang membuat kesalahan perlu didikan secara keras lagi-lagi yang mungkin pernah melalukan jenayah.

Rasullah Sallahuailaihiwassalam bersabda, " Allah berkata, 'Aku adalah berdasarkan sangkaan kepada hambaku kepadaku." Hadis Riwayat Abu Hurairah ini menyatakan peri penting nya kita semua sebagai hamba bersangka baik dengan Allah. InsyaAllah apabila kita bersangka baik kepada Allah maka dengan izinNya perkara yang baik-baik akan berlaku kepada kita. Namun, jika ditimpa ujian-ujian maka hadapilah dengan rasa taqwa.

Berbalik kepada perbincangan Kuasa Imaginasi Pemuda:

Kuasa Imaginasi juga merangsang Al-Fateh bagi menawan Konstantinopel melalui keinginan baginda yang kuat dan dahsyat.
Al-Fateh banyak mengkaji geografi yang banyak membabitkan gambar peta dan lukisan yang merangsang otak kanan baginda untuk terus berimaginasi dan melukis visi serta impiannya dengan jelas.



Merungkai cerita Al-Fateh yang kuat berfikir ini, menjelaskan kenapa baginda diceritakan tidak pernah meninggalkan solat tahajjud di 1/3 malam kerana sentiasa memikirkan pelbagai jenis stratergi  yang diperlukan bagi merempuh dan menjatuhkan kubu Kota Konstatinopel itu.

BENTENG RUMELI HISARI

Benteng Rumeli Hisari dibina dengan motif tersendiri. Ia dibina bagi merangsang kuasa visualisasi bagi Sultan Muhammad Al-Fateh dan bala tenteranya. Benteng ini dibina menghadap betul-betul di hadapan Kota Konstantinpel yang dipisahkan oleh Laut Marmara dan Laut Hitam.

Pembinaan benteng ini mendidik Al-Fateh dan para tenteranya melihat dengan jelas dan terang impian sebenar kempen penaklukan Kota Konstatinopel oleh bala tentera Turki Usmaniah.



"Apabila kita mempunyai visi yang jelas, kita tidak akan lagi mempunyai masa untuk bersarapan pagi' Bill Gates.
SEMANGAT PEMUDA YANG TIDAK MENYERAH KALAH

Kepimpinan beriwaba adalah mempunyai sikap tidak berputus asa. Adalah penting bagi menyedari hasil-hasil ciptaan manusia yang hebat seringkali dikatakan 'mustahil walhal bangunan pencakar langit seperti KLCC mampu dibina, kapal terbang juga mampu diterbangkan dengan kapasiti penumpang yang besar ke udara di samping mengurangkan masa perjalanan. "Di Mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan"


Gambar menunjukkan semangat tidak menyerah kalah tentera Turki Usmaniah ke atas Kota Konstatinopel

1. Thomas Alva Edison gagal 10,000 kali sebelum berjaya mencipta mento.
2. Kolonel Sanders pula gagal lebih 1000 kali sebelum berjaya mencipta respipi ayam goreng KFC.
3. Albert Einstein ditentang oleh orang gereja berkenaan teori relativitnya yang kini diterima pakai dalam ilmu sains dan aplikasi sains.
4. Jepun pula bangkit dengan semangat samurai dalam masa 20 tahun walaupun mengalami kekalahan teruk setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom Amerika Syarikat.
5. Akhirnya Al-Fateh dan tentera Turki Usmaniah juga tidak berputus asa menggasak dan menyerang Kubu Konstantinopel selama 53 hari walaupun menemui kegagalan demi kegagalan sehinggalah pada 29 Mei 1453 dinding kubu kota itu akhirnya pecah dan jatuh dan Konstantinopel dibuka dan dinamakan sebagai ISTANBUL.


SEMANGAT PEMUDA YANG MEMBAKAR SEMANGAT ORANG LAIN

"Kepimpinan  adalah keupayaan dan kemahuan mempengaruhi lelaki dan perempuan bersama-sama menyertai kita, disertai sikap yang mengispirasikan keyakinan" Bernard Montgomery

Syeikh Dr. Ali Muhammad as-Shollabi ada menyebut bagaimana sifat merakyat dan membakar semangat yang ada pada Al-Fateh yang bukan sahaja ditunjukkan semasa membina  benteng Rumeli Hisari bahkan baginda bergerak dari khemah ke khemah memberikan kata-kata semangat kepada seorang-seorang askar Turki Usmaniah itu.

Gambar sedutan filem 1453 Fetih. Al-Fateh sedang berfikir panjang tentang bagaimana untuk tumbangkan Kota Konstatinopel.


Al-Fateh juga menggunakan slogan "Kalian adalah tentera Abu Ayyub al-Ansari". Siapakah Abu Ayub al-Ansari sehingga Al-Fateh menyebut nama beliau?

 Abu Ayyub al-Ansari adalah sahabat Nabi Muhammad yang telah berperang bersama-sama Nabi kita dalam semua peperangan sebelum Nabi kita wafat dan akhirnya belia menghembuskan nafas terakhir di perkarangan kawasan Konstantinopel setelah mengikut kempen Kerajaan Ummaiyah dalam usaha menakluk Konstantinopel.

Bala tentera Turki Usmaniah begitu bersemangat mendengar Slogan ini lantas menunjukkan yang slogan sangat penting bagi membakar semangat tentera dan menjaga fokus mereka visi yang perlu dicapai.



Al-Fateh juga ada membawa ulama'-ulama' ke medan perang untuk berjihad bersama di mana ia menjadi pendekatan yang berkesan kepada motivasi 250,000 tentera pejuang Usmaniah.

Ingin ditekan kan di sini ulama' tidak patut hanya berada di majlis pengajian ilmu ataupun di atas tikar sejadah sahaja. Mereka perlu menterjermahkan apa yang mereka fahami daripada ilmu itu.

 Demikian usaha Al-Fateh meletakkan ulama'-ulama di kalangan batalion-batalion tentera Usmaniah bagi menguatkan kerohanian melalui CERAMAH DAN PIDATO. Para tentera Usmaniah juga diperingatkan ulama yang Allah adalah sebaik-baik pergantungan dalam mencapai kemenangan.

Membuat kesimpulan dari penerangan saya tentang Kuasa Semangat Pemuda ini, dapat saya katakan yang selagi kita masih berpeluang dan berkemampuan, maka tunaikanlah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam mengikt kemampuan masing-masing.

Saya berharap ini sedikit-sebanyak boleh membantu anda untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Sekian.













Saturday 1 December 2012

Siapakah gerangan nya Sultan Muhammad Al-Fateh?

Assalammuailaikum Warahmatullahiwabarakaatuh.
Sebelum kita memahami dan menghayati kandungan Kuasa KePemimpinan Al-Fateh ini adalah elok kita berkenalan dengan peribadi dan perihal baginda Sultan Al-Fateh ini.

Baginda adalah Sultan Muhammad 'Al-Fateh' Bin Murad, penakluk Konstatinopel kini Istanbul (sila jangan ingat Lisa Surihani sepanjang nama Istabul disebut ok. Hehe) dan seorang putera Islam yang membawa kemenangan umat Islam ke atas Empayar Byzentium yang angkuh dan sombong pada zaman itu.

Diceritakan di dalam buku ini iaitu daripada Abu Qubail menuturkan daripada Abdullah Bin Amr Ash:

Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasullah (Sallahuailaihiwassalam), tiba-tiba beliau ditanya "Mana yang akan dikalahkan dahulu? Konstantinopel atau Rom?" Nabi Muhammad menjawab, "Kota Heraklius yang akan dikalahkan terlebih dahulu." yang mana Nabi kita merujuk kepada Konstatinopel.

Rasullah S.A.W juga memberi gambaran perihal peribadi Sultan Muhammad Al-Fateh
" Kota Konstatinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan" 
 Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal dlm Al-Musnad.
1.0 Gambar Menunjukkan Cubaan Penaklukan Turki Usmaniah ke atas Kota Konstatinopel



Al-Fateh berbeza dengan pemimpin-pemimpin Islam sebelum baginda kerana berjaya menawan Konstatinopel setelah usaha selama 800 tahun menakluknya gagal sejak kempen menakluk kota itu bermula dari zaman sahabat Nabi lagi. Al-Fateh dikatakan dalam sumber lama sejarah Turki mempunyai kemahiran dalam bidang stratergi politik, kejuruteraan ketenteraan, sains, matematik dan pengurusan ekonomi dan menguasai 7 bahasa pada usia 21 tahun. SubhanaAllah.

2.0 Gambar Menunjukkan Lukisan Potrait Sultan Muhammad Al-Fateh
Sultan Muhammad al-Fateh adalah lambang pemimpin agung  dan model kepimpinan yang sempurna. Baginda membawa pemikiran kepimpinan sosial yang praktikal dan pragmatik untuk dunia keseluruhananya.
Muhammad Al-Fateh dengan kuat bertegas membangunkan negara yang bebas dari korupsi, kronisme dan pecah amanah. Ini patut dicontohi bagi menjamin keadilan, kemajuan dan kekuatan dalam menjadi peradaban, masyarakat dan negara yang agung.

Dalam kata-kata beliau kepada pewarisnya tentang kepimpinan:

"Saya berada di ambang perjalanan kembali ke sisi Allah. Namun saya berharap saya tidak khuatir kerana saya meninggalkan orang seperti kamu. Jadilah pemimpin yang adil, soleh dan penyayang. Rentangkan perlindunganmu untuk rakyatmu, tanpa kekecualian. Bekerjalah demi menyebarkan Islam. Itu adalah kewajiban para khalifah di muka bumi. Dahulukan urusan agama atas apa pun urusan lainnya. Janganlah kamu jemu dan bosan untuk terus menjalaninya.Janganlah kamu angkat menjadi pegawai, orang yang tidak peduli dengan agamamu, orang yang tidak menjauhi dosa besar dan yang tenggelam dalam dosa. Jauhilah bid'ah yang merosakkan agama. Jauhilah mereka yang menggodanya bagi memasukinya. Jagalah setiap jengkal tanah Islam dengan jihad. Lindungi harta di Baitulmal jangan sampai binasa. Jangan sesekali tanganmu mengambil harta rakyatmu kecuali sesuai dengan ketentuan Islam. Pastikan mereka yang lemah mendapat jaminan kekuatan daripadamu. Berikanlah penghormatanmu untuk orang yang berhak. Ketahuilah para ulama adalah nadi kekuatan di tengah tubuh negara, maka muliakanlah mereka.Semangati mereka. Apabila ada antara mereka yang tinggal di negeri lain, hadirkanlah dan hormati mereka. Cukupilah keperluan mereka. Berhati-hati. Waspadalah jangan sampai kamu tertipu dengan harta mahupun kuasa. Jangan sampai kamu jauhkan ahli syariat dari pintumu. Jangan sampai kamu cenderung kepada perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Islam itulah tujuan kita dan hidayah itulah jalan kita. Itulah sebabnya kita dimenangkan. Ambillah daripada ku pelajaran ini. Saya berada di negeri ini bagaikan semut yang kecil. Lalu Allah memberi nikmat yang besar ini. Maka tetaplah di jalan yang sudah saya lalui ini. Bekerjalah demi memuliakan agama Islam ini demi menghormati umatnya"
Begitulah pesan Sultan Muhammad 'Al-Fateh' kepada putera baginda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan Turki Usmaniah selepas baginda wafat.

Apa yang menarik perhatian saya tentang Al-Fateh ialah bagaimana sederhana nya baginda dalam kehidupan di dunia. Ditambah pula baginda bukan di kalangan tab'in atau yang dipilih menjadi wali Allah. Namun begitu, baginda diberikan pendidikan yang mantap oleh ulama'-ulama' yang bukan sekadar pakar fiqah, tauhid dan lain-lain perkara agama Islam bahkan mahir dalam bidang ilmu seperti matematik, sains dan geografi.


Antara ulama' terkenal yang mendidik peribadi Al-Fateh ialah Syeikh Aq Syamsuddin.
Di samping itu, Al-Fateh meunjukkan contoh kepimpinan yang baik dengan menjadi contoh yang baik kepada bala tenteranya.



Penguasaan 7 bahasa termasuk bahasa musuh-musuh Turki Usmaniah membenarkan Al-Fateh menawan hati rakyat lagi-lagi yang bukan beragama Islam melalui kuasa pidato baginda.

Sekian sahajalah untuk pengenalan Sultan Muhammad 'Al-Fateh' Bin Murad ini. 'Post' blog yang seterusnya akan memaparkan satu per satu Kuasa KePemimpinaN Al-Fateh dalam menakluk Konstatinopel yang kini dipanggil Istanbul. 


Tuesday 27 November 2012

Permulaan Baru

Assalammuailaikum Warahmatullahiwabarakaatuh dan Salam Sejahtera Salam 1Malaysia.

Alhamdullilah setelah sekian lama saya ada blog ini tetapi tidak pernah dikemas kini dengan pelbagai idea, pendapat, ilmu, dan perkara-perkara baru.

Sudah ada dua post sebelum ini namun penggunaan bahasa Melayu saya mengarang karangan-karangan tersebut ternyata rosak dan tidak elok untuk bacaan semua lapisan masyarakat.

Maka bermula lah hidup baru saya dengan mengarang karangan-karangan yang insyaAllah, dengan izin Allah akan menambah ilmu para kalian yang sudi membaca blog saya ini.

Sejak saya belajar memanah ini juga saya tahu saya perlu mula menulis blog kerana ia juga menjadi satu medium yang kuat untuk berkongsi pendapat saya secara ilmiah dan profesional selain mengelakkan emosi dimasukkan dalam perbincangan ilmiah kita semua.
Sebagai permulaan yang baik dan semoga diredhai Allah SubhanaAllah Taala, saya mahu kongsi apa yang telah saya dapat dan hayati dari Buku Kuasa KePemimpinan Al-Fateh keluaran PTS hasil tulisan Muhammad Syaari Abdul Rahman dan di-pengantar-kan oleh Abdul Latip Talib. Buku-buku lain juga akan menyusul. InsyaAllah.